November 18, 2011

"ORANGTUA MANDUL" PUNYA ANAK BERMASALAH


Anak-anak adalah amanah dari Allah SWT dan Ia sebahagian dari ujian Allah SWT kepada kita hamba-hambaNYA. Firman Allah SWT : “Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi Allah ada pahala yang besar.” (QS. At-Taghabun, 64 : 15)



Sebagai ujian, Ia akan dipertanggungjawabkan. Orang yang malang ialah orang yang mempunyai banyak anak tetapi anak-anaknya tidak membawa kebaikan kepadanya di akhirat.

Rasulullah SAW diberitakan telah bersabda : “Tahukah engkau siapakah orang yang mandul? Berkata para sahabat : “Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak.” Lalu Rasulullah SAW berkata “Orang yang mandul itu ialah orang yang mempunyai banyak anak tetapi anak-anaknya itu tidak memberi manfaat kepadanya sesudah ia meninggal dunia.” Maksud Al-Hadits, ini mungkin disebabkan beberapa kelalaian dalam mendidik anak-anak.

Kelalaian pertama : Kurang berdoa A. Kurang berdoa semasa mengandung. Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa mengandung ialah : – Saidul (penghulu) Istighfar – Doa memohon rahmat (QS. Ali Imran, 3 : 8-9) – Doa memohon zuriat yang baik (QS. Ali Imran, 3 : 38) – Doa agar anak mengerjakan solat (QS. Ibrahim, 14 : 40-41) B. Kurang berdoa semasa membesarkan anak. Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa anak membesar ialah : – Doa agar anak patuh kepada Allah SWT (QS. Al-Baqarah, 2 : 128) – Doa diberi zuriat yang menyejukkan hati (QS. Al-Furqan, 25 : 74) – Doa supaya nama anak membawa kebaikan kepadanya.

Kelalaian kedua : Banyak memberi ajaran tarhib (menakutkan) daripada targhib(dorongan atau motivasi) Ajaran tarhib antara lain seperti : – menakutkan anak-anak dengan sekolah. – menakutkan dengan tempat gelap. – menakutkan dengan hutan rimba atau bukit bukau. – menggunakan kekerasan dan paksaan waktu menyuruh anak tidur.

Kelalaian ketiga : Tidak tegas dalam mendidik anak-anak. – tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak – terlalu memfokuskan anak-anak kepada sesuatu aktiviti saja tanpa mengerti perasaan mereka.

Kelalaian keempat : Menegur anak secara negatif. – mengeluarkan kata-kata kasar dan makian kepada anak-anak (terutama sewaktu marah).- membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain.

Kelalaian kelima : Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani,rohani dan intelektual. Pendidikan intelektual lebih dipentingkan daripada pendidikan rohani. Apabila diberikan pendidikan rohani, pendidikan intelektual biasanya diberikan porsi yang lebih besar. Sehingga tidak terjadi keseimbangan.

Kelalaian keenam : Kurang memberi sentuhan kepada semua anak-anak. Rasulullah kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. : ‘Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium Al-Hassan atau Al-Hussein bin Ali ra. Ketika itu Aqra bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra : “Ya Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka.” Rasulullah melihat kepada Aqra kemudian berkata : “Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi.”‘ (Al-Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kelalaian ketujuh : Penampilan diri yang kurang anggun dan kurang baik. Orang tua tidak menunjukkan cara berpakaian yang baik dan sesuai syara bila berada di rumah, iaitu berpakaian secara seenaknya atau berpakaian seksi di hadapan anak-anak.

Kelalaian kelapan : Susunan rumah tangga yang tidak baik. Ini mengakibatkan anak-anak terikut-ikut dengan cara salah seorang dari ibu bapanya.

Kelalaian kesembilan : Membolehkan orang yang tidak baik perilaku, kesopanan, dan ahlaknya masuk ke dalam rumah kita, baik dari kalangan sahabat sendiri ataupun sahabat anak-anak. Apabila kelalaian ini terjadi, maka akan memberikan contoh yang tidak baik kepada anak-anak yang sedang dalam pertumbuhan.

Kelalaian kesepuluh : Kurang mengawasi rancangan-rancangan yang ditonton di TV ataupun video. Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan dari media ini menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menepati syara’ dan perbualan yang dapat merosak aqidah dan pemikiran anak-anak.

Kelalaian kesebelas : Terlalu bergantung kepada pembantu rumah untuk mendidik anak-anak.

Sebagai ibu bapak kitalah yang akan diminta pertanggungjawaban di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu adalah menjadi satu kepentingan kita untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik dengan didikan Islam. (sumber: internet)